|
PARUT ATAU KEMATIAN
Monday, July 25, 2016 @ Monday, July 25, 2016 | 3 Comment [s]
Assalamualaikum.. sedikit perkongsian cerita..
Baru-baru ini
Allah izin air panas tertumpah atas peha isteri saya yang sangat saya cintai.
Apabila sudah
mendapat rawatan yang sepatutnya, keadaan bertambah baik. Cuma buat masa ini,
kulitnya yang melecur itu kehitaman, dan mula mengelupas. Mungkin nak ganti
kulit yang baru.
Isteri saya
cakap: "Kalau air panas tu jatuh kat muka saya, macam mana? Awak sayang
saya lagi tak kalau kulit muka saya jadi begini?" Sambil menunjukkan bekas
tempat melecur itu.
Saya jawab:
"Ada manusia yang boleh hidup dengan orang yang tak lawa. Apatah lagi
saya, untuk hidup dengan awak. InsyaAllah kekal sayang."
Perbualan itu
menjadikan saya terkenang akan mengapa saya memilih isteri saya untuk menjadi
peneman hidup.
Ya, masa jatuh
hati itu, tak terfikir kenapa jatuh hati kepadanya. Ketika itu, automatik hati
digerakkan. Tetapi kemudian saya mencari sebabnya. Kerana saya jelas ketika
itu, tidak mahu didorong perasaan semata-mata.
Apa yang
menjadikan saya benar-benar nekad untuk mengahwini isteri saya, ialah, selepas
saya risik-risik latar belakang dan peribadinya, dia mampu mengimbangi saya.
Saya nampak, dia mampu melengkapkan diri saya. Saya kenal diri saya, saya tahu
sikap saya, saya faham kekurangan-kekurangan saya. Yang saya perlukan ialah
orang yang tak lihat saya ini perfect, dan bila melihat kekurangan-kekurangan
saya, dia berusaha mengimbanginya berbanding hanya pandai kecewa.
Cantik itu bonus
sahaja. Dan sebenarnya cantik itu subjektif. Pasti sahaja saya akan kata isteri
saya lawa berbanding yang lain, walau bagaimana pun keadaan rupanya. Kerana dia
isteri saya. Manakala semua suami yang lain pula perlu merasakan isteri
masing-masing ialah yang paling lawa. Bukan kata perempuan lain atau isteri
orang lain lawa.
Perbualan ini
juga menjadikan saya teringat, kadang-kadang, air mata saya mengalir sebelum
tidur. Mengapa? Kerana saya ada satu tabiat, kadang-kadang saya cuba
membayangkan situasi bila orang yang saya sayangi ditarik pergi oleh Allah SWT.
Jadi kadang,
saya terbayang Ummi saya meninggal dunia, Abah meninggal dunia, isteri saya
meninggal dunia, anak saya meninggal dunia. Membayangkan bagaimana saya uruskan
jenazah mereka dan mengebumikan mereka. Membayangkan bagaimana kehidupan saya
selepas ketiadaan mereka. Bayangan-bayangan itu kadang sangat tajam rasanya,
kerana tidak dapat tidak saya perlu mengakui akan kemungkinan realiti
sedemikian boleh sahaja berlaku dalam kehidupan saya, hingga saya akhirnya
terasa benar-benar tidak berkuasa, hanya mampu menangis sambil menginsafi &
memulangkan diri kita kepada Empunya Nyawa, yakni Allah azzawajalla. Kadang
saya terasa sangat sampai saya tersebut: "Ya Allah, matikanlah aku lebih
awal berbanding orang-orang yang aku sayangi."
Jadi di dalam
hati saya, sambil menjawab isteri saya tadi, saya berkata: "Lebih baik
melecur wajah(na'udzubillah), mungkin tinggal parut sedikit, berbanding mati
dan meninggalkan saya. Diri ini nyata belum cukup bersedia untuk
berpisah."
Kadang cinta itu
kompleks. Sukar sebenarnya kita nak menterjemahkan sayang hanya dengan beberapa
patah perkataan ringkas. Kadang, tindakan juga tidak mencukupi untuk
mentafsirkan rasa cinta dan sayang kita kepada seseorang.
Ada masa saya
peluk isteri saya lebih erat, ada masa sengaja saya kucup tangan & pipi
Ummi Abah lebih lama, ada masa saya dukung anak saya dan usap-usap rambutnya
dengan lebih perhatian bersama doa, dengan harapan dapatlah rasa cinta dan
sayang saya ini dirasai juga oleh mereka.
Moga-moga
tatkala kami dipisahkan di dunia ini, kami berpisah dengan rasa saling cinta
mencintai.
Saya tiada
harapan yang lebih besar dari saya mendapat rahmat Allah SWT dan dimasukkan ke
dalam syurga, kecuali, saya berharap dikumpulkan di sana bersama semua keluarga
saya.
Semoga Allah SWT
meredhai kita semua.
Dunia hanya
pinjaman. Kadang kita tak rasa. Tetapi jika kita benar-benar menghayati, akan
nampaklah kekerdilan diri.
Lantas kepada
Allah jua kita sujud mohon belas kasihan dan dirahmati.
Muhasabah.
| The Disclaimer
![]()
Navigations! ![]() Follower Let's Talk! ![]()
The Credits! |