|
DIRI DI UJI TANDA ALLAH SAYANG
Thursday, September 21, 2017 @ Thursday, September 21, 2017 | 0 Comment [s]
Assalamualaikum 😊
Setiap dari kita menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk. Malahan, ujian
kenikmatan itu sendiripun adalah satu ujian. Apatah lagi ujian sakit, ujian
waktu, ujian harta, ujian pekerjaan, ujian perhubungan atau apa juga bentuk
peristiwa yang terjadi kepada kita yang mana kita merasa sangat sulit jika
berdepan dengan keadaan situasi yang menuntut kesabaran itu.
Perumpamaan ujian dalam
hidup ini boleh diibaratkan seperti sesenduk garam yang dicurahkan ke dalam
segelas air, dan sesenduk garam itu juga dicurahkan ke dalam sebaldi air. Air
yang di dalam gelas tentu lebih masin berbanding air yang di dalam baldi tadi.
Sama juga ujian bagi seseorang manusia seperti sesenduk garam yang kalau
diterima dengan hati yang sempit maka ujian itu menjadi berat, tetapi kalau
diterima dengan hati yang lapang dan luas, maka ujian itu menjadi ringan. Oleh
itu, luas dan lapangkan hati supaya ujian yang dilalui itu menjadi kecil bagi
kita.
Mengecilkan masalah tidak
akan menyelesaikan masalah atau ujian berkenaan, tetapi kita harus meluaskan
hati dan membesarkan minda supaya masalah yang kita lalui itu dapat ditangani
dengan satu penyelesaian yang bijak. Ini kerana orang yang berjiwa besar tidak
akan sama sekali terjejas dengan ujian-ujian yang dianggap sebagai satu garam
sahaja dalam kehidupan. Malah ujian yang jatuh pada hati yang lapang dan kuat
tidak mudah terasa sakit atau goyah.
Bagi manusia yang jiwanya
lapang, kuat dan utuh akan menganggap ujian seperti hasad dengki, fitnah dan
caci maki orang terhadapnya atau suami berkahwin lain sebagai satu dugaan kecil
kepadanya, malah langsung tidak menjejaskan akhlaknya dalam mendepani cubaan
sebegitu. Hati mereka ini tetap lapang dan selalu mengembalikan setiap ujian
itu sebagai tarbiah Allah buat dirinya.
Malahan setiap ujian yang
menimpa dirinya diterima dengan dada yang terbuka dan mempunyai kepercayaan
yang teguh bahawa setiap sesuatu ujian itu mengandungi hikmah yang tersembunyi.
Bagi mereka yang mempunyai kekuatan dalaman dan keimanan yang tinggi terhadap
qada dan qadar Allah swt tidak akan pernah tewas dengan ujian sebaliknya dugaan
itu dijadikan sebagai jalan untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.
Namun, kita tidak akan
mampu menjadi orang yang lapang hati jika kita tidak mempunyai keyakinan dan
tinggi terhadap Allah. Keyakinan ini berhubung dengan kekuatan akidah dalam
diri kita sendiri. Bagi menguatkan akidah dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah
kita hendaklah selalu persiapkan diri dengan mendekati segala suruhannya dan
menjauhi segala larangan dan maksiat yang akan menjauhkan diri kita denganNya.
Kita juga tidak akan
mendapat kekuatan dalaman sekiranya tidak memiliki hati yang bersih. Mulut dan
percakapan yang kotor akan mengotorkan hati kita, fikiran yang kotor akan
mengotorkan hati kita, menjejaki tempat yang maksiat akan mengotorkan hati
kita. Justeru, selalulah membasuh hati dengan zikrullah dan menjauhi
perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan kepada hati kita.
Dalam kita mendepani
ujian kehidupan, pastinya kita tidak boleh mengawal setiap ujian dan dugaan
yang mendatangi kita tetapi tugas kita adalah menggunakan akidah yang
mantap, kelembutan akhlak dan kesempurnaan amal ibadat kerana dengan ini kita
boleh menangani apa juga yang berlaku kepada kita. Ini kerana peristiwa yang
diiringi dengan reaksi akan membuahkan hasil dari setiap tindakan yang kita
ambil. Kita tidak mampu mengawal setiap peristiwa yang berlaku tetapi kita
mempunyai pilihan untuk memberi reaksi yang boleh menghasilkan keputusan yang
terbaik.
Begitu juga setiap ujian
sebenarnya adalah untuk melihat siapakah diri kita. Bagaimana kita bertindak
terhadap ujian, itulah diri kita. Ada orang tidak dapat mengawal emosi dan
perasaan ketika berdepan ujian, ada orang sabar dan tabah ketika sedang diuji,
ada orang lebih mendekatkan dirinya kepada Allah dan apapun bentuk reaksi kita
kepada masalah, itulah diri kita yang sebenar, walaupun barangkali kita selalu
berkeadaan baik ketika menjalani kehidupan ini.
Dengan ujian juga,
sebenarnya Allah mahu membersihkan kekotoran pada hati kita. Ujian itu
menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti air yang membersihkan
kotoran pada badan kita. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu
kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas
dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Ujian atau musibah itu
juga adalah satu bentuk Allah mengenalkan diriNya kepada hambaNya. Bila kita
tidak redha dengan ujian, bererti kita belum benar-benar mengenali kekuasaan
Allah dan sebab itulah Allah mahu mengampunkan dosa-dosa kita dengan cara memberikan
ujian mengikut kemampuan hambanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(Surah
Al-Baqarah ayat 286).
Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan
mencubanya dengan ujianNya.” Justeru, lapangkanlah hati, kuatkan jiwa dan
luaskan perasaan saat kita menerima apa juga ujian Allah kerana setiap ujianNya
tidak diberi secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya
segala yang terjadi kepada kita pahit ketika berlaku tetapi manis bila dikenang.
| The Disclaimer
![]()
Navigations! ![]() Follower Let's Talk! ![]()
The Credits! |